Belia Sabah digalak ceburi sukan menembak – SSA

KOTA KINABALU: Persatuan Menembak Sabah (SSA) menggalakkan lebih ramai belia di negeri ini menceburi sukan menembak yang baik untuk pembinaan sahsiah dan membentuk seseorang menjadi seorang yang positif serta dinamik.

Presidennya, Tan Sri T.C Goh berkata latihan yang konsisten dan profesional dalam sukan menembak dari masa ke masa, juga boleh membantu meningkatkan tumpuan, kemahuan dan keyakinan diri seseorang.

Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) dan Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) berkata demikian semasa memberi ceramah semangat kepada kontinjen penembak junior SSA yang menyertai “Selangor Shooting Championship 2022 & Sport Excel/NSC/MILO/NSAM 1st Malaysia Junior Shooting Championship” baru-baru ini.

Lima penembak junior itu ialah Crystal Leyrra Marcellus berumur 16 tahun, Larissa Regina John Tillon (17), Briana June Daya (16), Nurhafizah Didin (19) dan Amber Weysha Walter John, 15.

Marcellus akan mengambil bahagian dalam acara Women Air Pistol, manakala rakan sepasukan lain akan bertanding dalam acara Women Air Rifle.

Kontinjen Sabah ke kejohanan itu diiringi oleh ketua jurulatih Denis Ejoh @ Ajoh dan penolong jurulatih Dayang Siti Nasira.

Kejohanan menembak tersebut kini sedang berlangsung di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Malaysia, Selangor, Malaysia bermula semalam hingga 27 Mac ini.

Ini merupakan acara rasmi pertama yang disertai oleh SSA baharu selepas penubuhannya pada 26 Disember tahun lepas.

Goh yang juga ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) menegaskan bahawa SSA komited terhadap matlamat jangka panjangnya untuk memupuk dan melatih belia Sabah dalam sukan menembak dan berharap usaha itu akan mendapat sokongan padu oleh kerajaan serta semua lapisan masyarakat Sabah.

Beliau berharap dengan sokongan padu daripada semua pihak kami akan dapat melahirkan beberapa atlet yang cemerlang untuk Sabah dalam sukan menembak pada masa depan.

“Dengan latihan yang konsisten dan profesional dalam sukan menembak dari masa ke masa, juga boleh membantu meningkatkan tumpuan, kemahuan dan keyakinan diri seseorang,” kata Goh.