MUIS beri sumbangan RM290,000 untuk mangsa kebakaran di Tawau

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM290,000 bagi membantu penduduk Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau, yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran, baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua MUIS Malai Ali Malai Ahmad kepada Menteri Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang disaksikan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohd Arifin berkata seramai 580 ketua isi rumah yang terlibat dalam kebakaran tersebut akan menerima bantuan RM500 dan pihaknya berharap sumbangan berkenaan akan dapat meringankan beban ditanggung mereka.

Saya juga meminta agensi-agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dapat tampil membantu meringankan beban dihadapi mereka,” katanya.

Lebih 700 rumah atas air di kampung berkenaan musnah dalam kebakaran kira-kira 4.40 petang, Khamis lepas.