KOTA KINABALU : Ketua Pembangunan Belia Sabah FC, Johnny Dominicus menasihati pemain-pemain muda supaya memanfaatkan sepenuhnya bakat dan potensi mereka miliki untuk membolehkan mereka dapat pergi jauh dalam bola sepak.
Katanya, setiap pemain dalam usia muda perlu menggunakan peluang sebaik-baiknya supaya bakat mereka tidak menjadi sia-sia.
“Asah bakat dan potensi diri dengan lebih serius semasa mengikuti latihan di bawah mana-mana sahaja jurulatih yang bertauliah,” katanya ketika memberi penerangan kepada pelatih-pelatih Program pembangunan bola sepak TABS di sini, kelmarin.
Jurulatih itu berkata, jangan persiakan peluang kerana Sabah memerlukan khidmat pemain-pemain berbakat yang berkualiti untuk mewakili pasukan.
Menurutnya, pemain-pemain muda seharusnya serius mengembangkan bakat dan potensi masing-masing untuk merebut peluang yang ada untuk menjadi pemain yang baik.
Sabah sendiri memang memerlukan khidmat pemain-pemain tempatan yang berkualiti dan ini sebenarnya peluang bakat-bakat baharu yang mengikuti latihan di peringkat akademi dan akar umbi, ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, pemain-pemain muda yang mengikuti sesi latihan seperti menerusi Program pembangunan di TABS ini sepatutnya menyedari matlamat penglibatan mereka dan memandang lebih jauh ke hadapan.
Jurulatih Sabah FC itu diberi tanggungjawab untuk membantu dan memantau pengendalian latihan program tersebut sejajar dengan kolaborasi antara TABS dan kelab profesional itu.
Beliau turut berkongsi pengalaman untuk membimbing para pelatih B16, B15 dan B13 dalam sesi latihan pada Ahad.
Turut menyaksikan sesi latihan itu ialah Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim, naib pengerusi, S.A Ramlye, setiausaha, Amsir Abdullah dan ketua jurulatih, Ismail Tudiki.