KOTA KINABALU : TABS SAFA Bandaraya menghargai komitmen dan kerjasama Sabah FC khususnya dalam memperkasakan lagi kolaborasi kedua-dua pihak demi manfaat bersama.
Naib Pengerusi TABS, S.A Ramlye berkata, banyak ruang yang boleh dilakukan dalam kolaborasi kedua pihak malah hasil pertemuan dengan Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid dan Ketua Pegawai Eksekutif (COO), Sazwan Imran baru-baru memperlihatkan kesungguhan kelab itu dalam soal ini.
“Kita sangat menghargai apa juga usaha ke arah memperkasakan lagi kolaborasi ini termasuk menjalinkan kerjasama lebih akrab dan memahami peranan yang boleh kita berikan kepada mereka,” katanya ketika di temui di sini, hari ini.
Menurut Ramlye, kepercayaan dan peluang yang diberikan Sabah FC kepada pelatih-pelatih TABS untuk menjadi pengiring pemain semasa Sabah FC menjadi tuan rumah dalam perlawanan Liga Super adalah satu penghormatan kepada TABS.
“Bagi pihak pengurusan TABS, saya ucapkan terima kasih kepada Pengurus Besar Sabah FC atas peluang yang diberikan kepada pelatih-pelatih kami,”, katanya.
Malah, beliau sendiri (Mohd Joh) turun melihat kehadiran pelatih-pelatih TABS bagi menjayakan program itu, ujar beliau.
Beliau berkata, dengan keyakinan seumpama itu membolehkan TABS sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan ini sebenarnya baik demi manfaat bersama.
Naib Pengerusi TABS itu menambah bahawa TABS juga akan menyediakan pengiring pemain ketika Sabah FC menjadi tuan rumah menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Likas pada Ahad ini dan perlawanan seterusnya.
“Secara kebetulan kita memiliki ramai pelatih B12 dan B10 yang boleh membantu menjayakan aktiviti tersebut,” kata Ramlye.