KOTA KINABALU – Jurulatih berpengalaman, Jelius Ating, menasihatkan pemain muda agar sentiasa bermain dengan bijak dan berdisiplin ketika beraksi dalam setiap perlawanan bagi memastikan prestasi terbaik dapat dicapai.
Katanya, pemain harus memanfaatkan setiap peluang yang diberikan dan tidak mensia-siakan tunjuk ajar jurulatih.

“Apabila diberi peluang untuk bermain, gunakan dengan sebaiknya dan bermainlah dengan minda, bukan sekadar tenaga,” katanya ketika memberi motivasi kepada pemain dua pasukan TABS B16 yang beraksi dalam Liga Superimau di Padang Sintetik Likas, baru-baru ini.
Jelius yang juga Pegawai Pembangunan Belia Sabah FC, turut menegaskan bahawa disiplin adalah faktor utama untuk membawa pemain muda melangkah jauh dalam karier bola sepak.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, merakamkan penghargaan kepada Jelius atas sumbangan dan komitmen beliau dalam membimbing bakat baharu di Sabah.
