Sulap FC Juara Karnival Bola Sepak Jemputan TABS 2025

KOTA KINABALU : Pasukan Sulap FC menjuarai kategori B14 Karnival Bola Sepak Jemputan TABS SAFA Bandaraya 2025 selepas menewaskan Superkids 2-0 melalui sepakan penalti di padang TABS Sukma, petang semalam.

Sulap FC dari Kinarut berjaya melakukan kejutan untuk menyingkirkan Superkids dari Beaufort selaku juara Liga Suparimau 2025 Season A untuk menduduki naib juara.

Sebahagian pasukan yang mengambil bahagian dalam karnival itu.

Dengan kejayaan itu, Sulap FC membawa pulang sebuah piala, medal dan sijil penyertaan (e-digital) dan Superkids menerima medal dan sijil penyertaan.

Manakala pasukan Brulun memenangi tempat ketiga mengalahkan Kundasang FT 2-0 pada perlawanan penentuan, sekali gus menerima medal dan sijil penyertaan.

Bagi kategori B12, Tebobon FT muncul sebagai juara setelah menumpaskan Sulap FC 3-1 juga melalui sepakan penalti pada perlawanan akhir kelmarin sementara tempat ketiga dimenangi TABS Thunder.

Tebobon FT menerima sebuah piala, medal dan sijil penyertaan.

Lokman menyampaikan medal kepada pemain Superkids sambil diperhatikan Sulaiman, Ramlye, Sulaiman Aladad dan jurulatih Hassan Madisa.

 KB Bandaraya A pula muncul juara dalam kategori B10 mengatasi City Boys dari Wilayah Persekutuan Labuan 3-0 pada perlawanan akhir. Tempat ketiga dimenangi Tebobon Beta yang menewaskan Kundasang FC 1-0 pada perlawanan penentuan.

Pasukan itu menerima piala, medal dan sijil penyertaan.

Sulaiman menyampaikan piala kepada ketua pasukan Sulap FC.

Terdahulu, Pengerusi TABS, Sulaiman Mohd Noor ketika merasmikan karnival itu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan khususnya pasukan dari luar daerah kerana memenuhi undangan mereka untuk menyertai karnival dua hari itu.

Katanya, penganjuran karnival itu bagi merancakkan lagi program pembangunan bola sepak di negeri ini di samping memberi peluang kepada pasukan-pasukan di peringkat akar umbi mengembangkan aktiviti mereka.

“Biasanya kami hanya menganjurkan karnival dalaman namun ini menjadi permulaan untuk memperluaskan lagi penganjuran dengan mengundang pasukan-pasukan dari luar daerah,” ujarnya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim, naib pengerusi, S.A Ramlye, setiausaha, Haji Amsir Abdullah, bendahari, Sulaiman Aladad, ketua jurulatih, Ismail Tudiki dan jurulatih-jurulatih TABS.