KOTA KINABALU : Bekas pelatih TABS SAFA Bandaraya, Daigoro Nakata kini bermain dengan pasukan UCD Dublin dalam Liga Premier di Ireland.
Daigoro, 22, merupakan pelatih TABS selama lima tahun ketika dia berusia 10 tahun hingga 15 tahun.
Semasa menjadi pelatih TABS, dia pernah bermain untuk Kejohanan Piala Borneo sebelum mengikuti ibunya, Chisato Suzuki berpindah ke Bangkok Thailand.
Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim mengucapkan tahniah kepada Daigoro atas pencapaiannya memandangkan dia seorang pemain tengah yang berbakat semasa menyertai program pembangunan bola sepak TABS di zaman kanak-kanaknya.
Katanya, Daigoro mulai mewakili pasukan TABS dalam Kejohanan Piala Borneo ketika berusia 12 tahun dan dalam usia tersebut, dia juga boleh mewakili pasukan B14 tahun.
“Ketika dia berusia 14 tahun, dia bukan sahaja mewakili kategori umur tersebut tetapi kami menyenaraikannya dalam pasukan B15 dan B16 dalam Kejohanan Piala Borneo,” kata Lokman.
Menurut beliau, ibu Daigoro, Chisato yang kini menetap di Tokyo Jepun memaklumkan baru-baru ini, Daigoro mewakili UCD Dublin sambil melanjutkan pengajian di negara berkenaan.
“Daigoro juga pernah memberitahu ibunya suatu masa nanti, dia berpeluang untuk datang kembali ke Malaysia kerana dia berminat untuk bermain dalam Liga Malaysia,” ujar beliau.
Sebelum ini, bekas pelatih TABS, Ahmad Qiyyam Darwish Ahmad Syukri, 7, telah mengikat kontrak dengan kelab remaja Al-Arabi Sports Club di Qatar.
Ayah Darwish, Ahmad Syukri Mustakim memberitahu, anaknya itu telah menyertai kelab tersebut tahun lalu selepas tertarik dengan aksi kanak-kanak itu dalam bola sepak.