Sabah ungguli Karnival Ragbi Labuan B16

LABUAN: Skuad Sabah mengungguli Karnival  Ragbi Labuan 2023 bawah 16 tahun apabila pasukan lelaki dan wanita muncul juara  kategori Cup yang diadakan di padang Dataran Labuan, pada Jumaat.

Pasukan lelaki  SMSM Pengazou dari Kota Kinabalu menjadi juara kategori Cup   bawah 16 tahun selepas menewaskan rakan senegerinya  SM La Salle Kota Kinabalu 31-5 pada perlawanan akhir.

Dengan kemenangan itu, SMSM Pengazou membawa pulang hadiah wang tunai RM750 berserta piala dan medal,  manakala SM La Salle selaku naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan medal.

Juara pasukan SMSM Pengazou dinobat juara kategori Cup lelaki Karnival Ragbi Labuan bawah 16 tahun 2023. Gambar Jainudin Djimin.

Sementara itu, SMSM Angels Kota Kinabalu dinobat juara kategori Cup acara wanita selepas menundukkan pasukan tuan rumah Wiper Lioners Alliance Labuan 24-0 pada perlawanan akhir.

Pasukan SMSM Angels turut menerima hadiah wang tunai RM750 beserta piala dan medal, manakala Wiper Lioners Alliance yang terpaksa berpuas hati untuk bergelar naib juara kategori wanita menerima hadiah wang tunai RM500 dan medal.

Tempat ketiga bagi kategori Lelaki bawah 16 tahun dimenangi oleh pasukan Semela Horns A Labuan selepas menundukkan Labuan Tigers 10-5 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan ke empat.

Bagi kategori perempuan bawah 16 tahun tempat ketiga dimenangi oleh  Labuan JRS selepas menewaskan Labuan CoreMarine dengan kiraan 15-0.

Karnival Ragbi Labuan 2023 yang dianjurkan oleh  Persatuan Ragbi Labuan (LRA) dengan kerjasama Perbadanan Labuan melibatkan lima kategori acara lelaki dan wanita, veteran lelaki serta bawah 16 tahun lelaki dan wanita.

Bagaimanapun bagi kateori Lelaki 10 sebelah terbuka dan wanita serta veteran lelaki masih lagi berlangsung  dan perlawanan akhir bagi kategeri tersebut hanya akan diketuai petang ini.

Menurut Presiden LRA, Rashid Adlie sebanyak 28 pasukan melibatkan seramai  560 pemain dari Sabah, Semenanjung  dan Labuan  menyertai karnival tahunan tersebut.