NABAWAN : Kembara Sains Borneo (KSB) anjuran Pusat Sains Negara (PSN) dan Akademi Sains Malaysia menerima sambutan hangat dari masyarakat Sabah dengan mencatatkan bilangan pengunjung melebihi sasaran yang telah ditetapkan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup ketika merasmi dan menutup program itu berkata, seramai 19,408 komuniti telah terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dibawakan dalam KSB di Kimanis dan Kalabakan.
Katanya ini termasuklah aktiviti-aktiviti sampingan yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah sekitar Parlimen Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan sehingga 27 September lepas.
Katanya lagi, di KSB Siri 2 Pensiangan yang diadakan bermula semalam, telah merekodkan sejumlah 3,000 pengunjung pada hari pertama menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 22,408 pengunjung.
Menurutnya jumlah ini telah berjaya melepasi sasaran yang telah ditetapkan sebanyak 10 ribu pengunjung.
Menyifatkan KSB Siri 2 yang dianjurkan PSN sebagai satu kejayaan, beliau percaya jumlah keseluruhan pengunjung ini akan berlipat kali ganda di sepanjang berbaki dua hari lagi pelaksanaan program KSB Siri 2 Parlimen Pensiangan.
“Secara umumnya, kita dapat melihat sambutan yang amat baik daripada komuniti di setiap lokasi KSB terutamanya komuniti pedalaman Sabah.
“Saya yakin dengan data-data dan maklum balas yang kita terima daripada para pengunjung, program jangkau luar seperti KSB dapat kita pertimbangkan sebagai program berkala yang wajar dilaksanakan bagi memastikan aspek pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Menurut Pengarah Pusat Sains Negara Mismah Jimbun, pihaknya membawakan bahan pameran interaktif bernilai hampir RM2 juta yang dibawakan khas daripada Kuala Lumpur bagi memberi pengalaman kepada semua peringkat masyarakat supaya dapat merasai keseronokan pembelajaran dalam bidang STI.