TUARAN: Kerajaan negeri akan memastikan isu gangguan bekalan air dan elektrik yang dialami rakyat negeri ini dapat diselesaikan dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun dari sekarang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata beberapa langkah sudah diambil dan dilaksanakan untuk menambah kapasiti bekalan bagi memenuhi kedua-dua keperluan itu.
Beliau berkata, usaha itu selaras komitmen kerajaan negeri meletakkan usaha mengatasi masalah bekalan air dan elektrik sebagai keutamaan ke arah mensejahterakan kehidupan rakyat.
“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat dapat bekalan air dan elektrik yang menjadi masalah sekarang.
“Kita akan pastikan kedua-dua masalah ini dapat diselesai sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi ke hadapan. Jika diurus dengan baik, Insya Allah kita boleh atasi kedua-dua isu ini yang menjadi kegusaran rakyat pada masa ini.
“Kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerana itu kita buat perancangan rapi dan tentukan bahawa projek pembangunan rakyat berjalan mengikut jadual dan dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, bagi masalah air, Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tamparuli, dekat sini yang sedang dalam proses penyiapan akhir naik taraf dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan.
Jelasnya, penyiapan projek itu akan menambah kapasiti bekalan air sebanyak 80 juta liter sehari (JLS) untuk menampung keperluan di utara Kota Kinabalu dan daerah ini.
Ini katanya, sekali gus dapat mengurangkan gangguan bekalan air yang dialami penduduk di kedua-dua kawasan ketika ini.
Beliau berkata, loji berkenaan adalah antara loji tambahan yang dirancang untuk menangani kekurangan bekalan air di kawasan ibu negeri dan sekitarnya, termasuk sebuah lagi di LRA Kogopon, Papar.
“Untuk air, kerajaan negeri sudah mula membina loji bagi meningkatkan bekalan air dari 40 JLS kepada 80 JLS di Kogopon, Papar yang sedang dilaksanakan dengan kos RM380 juta dan dijadual siap pada 2026.
“Selain itu sebanyak 80 JLS lagi tambahan di LRA Telibong II bagi mengatasi masalah air di utara bandar raya Kota Kinabalu dan Tuaran yang akan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan,” katanya.
Hajiji berkata, menerusi usaha Kerajaan Negeri itu, ditambah peruntukan RM320 juta dari Kerajaan Persekutuan baru-baru ini untuk penyelesaian jangka pendek masalah air di Sabah, isu bekalan air di negeri ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Bagi bekalan elektrik, katanya, antara usaha yang diambil ialah menerusi pembinaan Loji Janakuasa Hidroelektrik dan Empangan di Ulu Padas, Tenom.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu bakal dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.