KOTA KINABALU : Program pembangunan bola sepak TABS mendapat sambutan baik dalam kalangan pelatih kerana elemen penyediaan suasana dan iklim bimbingan serta latihan berkesan terhadap semua pelatih yang mengikuti program yang dijalankan.
Naib Pengerusi TABS, S.A Ramlye, berkata para jurulatih mereka akan memberi penekanan kepada suasana latihan asas yang baik dan bimbingan yang mudah difahami pelatih selain memberi pendedahan perlawanan kepada mereka.
Katanya, konsep tersebut menarik perhatian pelatih di samping memudahkan para jurulatih mengendalikan bimbingan dan latihan yang diberikan kepada pelatih terbabit.
“Setakat ini memang ramai pemain termasuk kehadiran pelatih-pelatih baharu untuk menyertai program tersebut,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan hujung minggu program, kelmarin.
Menurut beliau, pelatih-pelatih itu terdiri dari pelbagai latar belakang dan ini menggambarkan kepelbagaian di samping menambahkan suasana yang lebih seronok dalam kalangan mereka ketika menyertai sesi latihan.
Beliau memberitahu, selain mendalami asas bola sepak, para pelatih yang berpotensi akan didedahkan kepada kejohanan sebenar melalui pertandingan-pertandingan tempatan yang dianjurkan.
“Biasanya pasukan-pasukan itu akan terlibat dalam kejohanan seperti Liga Suparimau, Piala Borneo selain jemputan bagi penganjuran dari kelab-kelab di luar Kota Kinabalu,”.
“Maknanya selain berlatih, mereka juga berpeluang didedahkan menerusi kejohanan sebenar yang akan memberi pengalaman kepada mereka,” ujarnya.
Sambil mengalu-alukan penyertaan pelatih-pelatih baharu, Ramlye memperingatkan mereka supaya sentiasa mempraktikkan disiplin semasa latihan di padang dan mematuhi panduan yang diterapkan oleh para jurulatih.
Katanya, ini penting untuk proses pengembangan bakat di samping persediaan mereka untuk melangkah lebih jauh dalam bola sepak.
Pelatih-pelatih berusia lima tahun hingga 17 tahun boleh mengikuti program tersebut di padang TABS Sukma di Jalan Tuaran di sini, tambah beliau.