KOTA KINABALU : Jurulatih berpengalaman, Jelius Ating berkongsi pengalamannya sambil menerangkan serba sedikit yang perlu ada ke atas pemain bola sepak kepada pelatih-pelatih bawah umur 16 tahun TABS SAFA Bandaraya dalam satu sesi latihan hujung minggu mereka Sabtu lepas.
Jurulatih itu yang sudah berkecimpung lama dalam bidang kejurulatihan dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) merupakan satu-satunya jurulatih yang memiliki Lesen Pro A di Sabah.
Dengan lesen tersebut melayakkan beliau untuk melatih pasukan Liga Super.
“Kita berasa bangga dengan kehadiran Jelius atas kesudian memberi tips berguna kepada pemain-pemain kami,” kata jurulatih Rosly Jamal yang membimbing pemain-pemain B16 TABS.
“Ia satu penghormatan kepada TABS dan bagi pihak TABS, saya mengucapkan setinggi-tinggi kepada beliau,” tambah Rosly.
Sementara itu, Naib pengerusi TABS, S.A Ramlye, berkata, pihaknya mengalu-alukan kesudian Jelius memberi sedikit penerangan kepada pemain-pemain TABS kerana ia membantu mereka lebih bersemangat untuk beraksi bersama pasukan.
“Dengan penerangan tersebut juga akan membantu pemain-pemain kami bertambah yakin untuk memperbaiki kekurangan mereka,” jelas Ramlye