TABS Sabah FC catat kemenangan dalam Liga Suparimau

KOTA KINABALU : Pasukan TABS-Sabah FC meneruskan kemaraan dalam saingan Liga Suparimau 2024 (Season B) dengan pasukan B16 dan B14 masing-masing mencatat kemenangan di dua venue berasingan di sini pagi tadi.

Dalam kategori B16, TABS-Sabah FC menewaskan pasukan KKFC 2-0 dalam perlawanan di padang ragbi Sukma manakala bagi kategori B14, TABS-Sabah FC juga menumpaskan pasukan KKFC 4-0 di padang sinttetik Kompleks Sukan Likas.

Bagi perlawanan B16, TABS-Sabah melakukankan jaringan pendahulu di babak separuh masa pertama sebelum menambah satu gol lagi di separuh masa kedua.

Perlawanan pagi ini menepati sasaran jurulatihnya, Rosly Jamal yang mahu melakukan perubahan dalam pasukan sekali gus memastikan kemenangan memihak mereka.

Memperolehi satu mata minggu lalu susulan keputusan seri 0-0 dengan lawan, namun hari ini pasukan itu bangkit untuk mendapatkan kemenangan untuk memperoleh mata penuh.

Manakala dalam perlawanan kategori B14, TABS-Sabah FC selesa dengan kejayaan pasukan menjinakkan KKFC 4-0 sekali gus menambah keyakinan untuk beraksi dalam perlawanan berikutnya minggu depan.

Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim ketika ditemui selepas menyaksikan kedua-dua perlawanan tersebut, berharap semua pasukan TABS yang bertanding dalam liga itu mampu mengekalkan prestasi mereka untuk memberi saingan kepada pasukan lawan.

Katanya, TABS akan terus memperbaiki rentak permainan untuk terus memburu kemenangan seterusnya.

“Dengan komitmen penuh jurulatih terhadap pasukan masing-masing, insyaAllah pasukan berupaya mempamerkan persembahan yang baik dan berkualiti,” katanya.

Menurut beliau, melalui prestasi baik pasukan dalam kejohanan sebenar mencerminkan kualiti program pembangunan bola sepak yang dijalankan.

“Ini memandangkan produk itu adalah bermula daripada penghasilan pemain di peringkat program pembangunan yang dikendalikan para jurulatih yang berpengalaman,” ujarnya.