KOTA KINABALU : Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Sulaiman Md Noor menyatakan penghargaan terhadap sokongan kelab Sabah FC dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dalam program pembangunan bola sepak khususnya di peringkat akar umbi yang dikendalikan TABS.
Katanya, sokongan itu sangat penting bagi TABS untuk meneruskan program pembangunan sukan itu di samping dapat memastikan pelatih kanak-kanak dan remaja menerima bimbingan dan pendedahan bagi mengembangkan bakat mereka.

Menurut beliau, badan bola sepak terutamanya SAFA Bandaraya, SAFA Pusat serta kelab Sabah FC memang banyak membantu memberi kerjasama kepada TABS untuk menjayakan program yang dijalankan selama ini.
“Bukan mudah khususnya kelab profesional seperti Sabah FC mengadakan kerjasama dan persefahaman dalam pendendalian program pembangunan bola sepak.”
“Ini satu kelebihan TABS daripada badan yang lain dan kami akan sentiasa menjalinkan kerjasama dan persefahaman erat dalam kolaborasi yang sedia wujud itu,” katanya ketika merasmikan majlis sambutan Hari Natal dan tahun baru di perkarangan padang TABS Sukma pada Sabtu.
Pengerusi TABS itu juga mengucapkan terima kasih kepada Sabah FC kerana memberi peluang kepda TABS menyediakan pelatih-pelatih menjadi pengiring pemain ketika kelab itu menjadi tuan rumah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah, Ketua Pegawai Operasi (COO) Sabah FC, Sazwan Imran yang mewakili Pengarahnya, Datuk Alijus Sipil, Presiden SAFA Bandaraya, Mohd Al Hafidz Lokman, Ketua Pembangunan Belia Sabah FC, Johnny Dominus, Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim dan naib pengerusi, S.A Ramlye.
Pada sebelah siangnya, Karnival bola sepak dalaman TABS membabitkan pemain-pemain B13 dan B10 turut diadakan yang dirasmikan Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim.

Sulaiman menambah bahawa acara karnival itu merupakan aktiviti tahunan TABS bagi memberi peluang pelatih-pelatih mendapat pendedahan menghadapi kejohanan selain mengikuti sesi latihan setiap hujung minggu.
Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan ibu bapa dalam menjayakan penganjuran sambutan perayaan tersebut.
Sambutan itu dimeriahkan lagi dengan pengisian persembahan tarian, nyanyian, potong kek, pertunjukan bunga api, pemilihan pakaian unik, cabutan tiket bertuah dan penyampaian hadiah pemenang karnival.