KOTA KINABALU: Sabah FC perlukan sokongan padu penyokong setia sebagai pembakar semangat apabila bertemu pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) di Stadium Likas Jumaat ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata ini penting bagi memastikan Sabah FC tidak kehilangan mata ketika bermain di hadapan penyokong tegar mereka.
Katanya para pemainnya perlu meningkatkan fokus serta berdisiplin bagi mengekalkan momentum sedia ada agar tidak kehilangan mata.
“Ketika ini persaingan kedudukan di tangga pertama dan kedua Liga Super sangat sengit. Ini sudah pasti menjadikan perlawanan pada malam ini nanti bertambah sengit.
“Kita anggap semua perlawanan adalah sangat penting lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan pasukan pilihan seperti JDT ini.
“Persiapan kita seperti biasa, seperti yang lalui sebelum-sebelum ini….Tiada perbezaan dan kita tahu bermain dengan JDT kita pasti ingin mendapatkan sesuatu dalam perlawanan ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Kim Swee berkata masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran walaupun Sabah FC sudah membuktikan dengan apa yang telah dilalui sekali gus membolehkan skuad The Rhinos berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik ketika ini.
“Kita tahu ini bukan satu perkara mudah…Pemain kita sudah berusaha dengan begitu gigih. Kita tidak akan terhenti di sini kerana masih mempunyai 11 atau 12 baki perlawanan perlu dilalui agar berada pada landasan yang betul,” katanya.
Ketika mengulas mengenai peluang malam inilah , Kim Swee berkata sudah tentu dengan kemenangan akan memberikan keyakinan cukup tinggi kepada pasukan Sabah FC.
“Kita tidak boleh terlalu memikirkan tentang kemenangan….Apa yang penting adalah kekal fokus, berdisiplin ketika kita bermain sepanjang perlawanan nanti,” katanya.
Menurutnya, pasukan JDT mempunyai pemain yang cukup berkualiti untuk menukar permainan dalam sekelip mata tanpa disedari.
“Kita tidak boleh terburu-buru…perlu menggandakan usaha jika ingin mencapai kejayaan atau sekurang-kurangnya untuk mendapatkan sebarang mata,” katanya.