Lotto kekal taja jersi Sabah FC

KOTA KINABALU: Sabah FC meneruskan kerjasama dengan jenama sukan terkemuka, Lotto sebagai penyedia jersi pasukan bagi mengharungi kempen Liga Super bermula Mei depan.

Pengarahnya, Mohd Joh Wid berkata sambungan kerjasama itu selaras dengan pilihan yang termaktub dalam perjanjian ditandatangani di antara kedua-dua pihak pada 2021.

Katanya, pemilihan Lotto juga mengambil kira reka bentuk, kualiti dan fabrik jenama itu yang sesuai dengan cuaca dan cita rasa penyokong serta peminat Sabah FC.

“Sabah FC membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan jenama Lotto sebagai rakan penyedia jersi pasukan pada musim baharu 2024-2025.

“Kami berharap jersi yang digunakan Sabah FC untuk kempen musim ini akan terus mendapat sambutan penyokong dan peminat seperti tahun-tahun lalu,” katanya hari ini.

Mohd Joh hari ini menyerahkan watikah pelantikan semula kepada wakil jenama Lotto bagi meneruskan kerjasama yang dijalin sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan dan Strategi Lotto Malaysia, Amirul Syafiq Azidin berkata pihaknya teruja untuk meneruskan sokongan mereka terhadap Sabah FC.

“Sejak Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai ketua jurulatih Sabah FC pada hujung 2021, kelab ini mencapai tahap yang membanggakan apabila menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Super 2022 dan berjaya mara hingga ke suku akhir Piala FA, buat kali pertama sejak 2007.

“Sabah FC juga berjaya menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Super dan mara ke suku akhir Piala FA, suku akhir Piala Malaysia dan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2023,” katanya.