Usahawan dan koperasi boleh mohon sertai program pemasaran digital di INSKEN dan IKMA – Ewon

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, usahawan dan koperasi boleh memohon menyertai program latihan pemasaran digital yang disediakan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA).

Beliau berkata, kedua-dua agensi di bawah kementerian itu menyediakan jadual latihan sepanjang tahun dan terbuka disertai semua usahawan dan koperasi termasuk di kawasan luar bandar.

“Di bawah program bimbingan dan latihan keusahawanan di bawah INSKEN, kita sediakan modul latihan bertujuan membimbing usahawan-usahawan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara oline.

“Begitu juga untuk koperasi-koperasi, kita mempunyai IKMA yang turut menyediakan modul-modul latihan untuk koperasi, kita bimbing mereka bagaimana untuk memasarkan perkhidmatan dan produk koperasi mereka secara dalam talian.

“Semua jadual latihan sepanjang tahun ini disediakan oleh kedua-dua agensi berkenaan dan terbuka untuk semua usahawan dan koperasi termasuk di luar bandar untuk memohon menyertainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr. Ronald Kinadee, pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr. Ronald bertanya, apa program khusus kementerian untuk usahawan luar bandar supaya beralih kepada adaptasi pendigitalan agar lebih maju dalam perniagaan.

Terdahulu dalam jawapan kepada soalan asal, Ewon menyatakan Program Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE) dan Program Usahawan Perantis (SPACE) antara program keusahawanan dengan komponen digitalisasi juga dilaksanakan oleh KUSKOP di bawah PROTEGE.