KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memperuntukkan bajet yang besar bagi memastikan rakyat Sabah mendapatkan pendidikan yang sempurna di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif bantuan pendidikan disediakan oleh kerajaan negeri bagi memperkasakan prestasi pendidikan di Sabah, antaranya sejumlah RM101 juta untuk biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, pada tahun ini.
“Saya meminta warga pendidik terus melakar kejayaan, bersemangat dan menunjukkan budaya kerja berprestasi tinggi untuk melahirkan modal insan yang terdidik serta mampu bersaing di persada global,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran Tahun 2023 di sini, hari ini.
Melahirkan harapan itu, beliau berkata, ini kerana dunia pada hari ini menuntut modal insan yang berjiwa kental dan cemerlang agar dapat bersama-sama membina negara bangsa.
“Pembangunan pendidikan sentiasa diberikan keutamaan oleh kerajaan negeri. Ini kerana pendidikan penting untuk mengubah nasib anak bangsa. Ini selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mana pembangunan modal insan antara agenda utama yang diberi penekanan oleh kerajaan negeri.
“Justeru, peranan dan sumbangan guru amat penting dan bermakna dalam memastikan generasi baharu yang lahir dapat memenuhi segala ruang dan peluang yang ada sekali gus mendepani apa jua cabaran yang datang.
“Oleh itu, saya menggesa supaya warga pendidikan di negeri ini, khususnya di Tuaran agar melakukan anjakan perubahan dan penambahbaikan untuk meningkatkan pencapaian pendidikan termasuk sahsiah pelajar di sekolah masing-masing,” katanya.
Mengenai majlis itu, Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri terus komited untuk menyokong segala aktiviti yang mengiktiraf sumbangan guru di negeri ini.
Justeru, beliau berkata, pelaksanaan MAPenS Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran Tahun 2023 amat signifikan dengan objektif utamanya iaitu memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada kecemerlangan pengurusan sekolah dan peranan warga pendidik.
“Saya berharap anugerah ini menjadi penyuntik semangat untuk terus berusaha dan memberikan sumbangan yang terbaik kepada pembangunan pendidikan di daerah ini.
“Dalam masa sama, warga pendidik perlu terus berusaha memacu tenaga demi melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri tinggi dan berupaya merealisasikan hasrat dan aspirasi negara. Komitmen guru mampu memperkembangkan potensi, mengetengahkan bakat dan kebolehan murid,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan Persekutuan dalam usaha meningkatkan pembangunan pendidikan di negeri ini.
Mengenai prestasi pelaksanaan sekolah-sekolah daif di negeri ini, beliau berkata, kerja menaik taraf sekolah daif kini sedang rancak dilaksanakan.
Hajiji berkata, semua usaha ini bertujuan memberi keselesaan kepada pelajar dan guru.