Sistem sprinkler bantu kawal kebakaran food court Bataras Kolombong

KOTA KINABALU: Sistem sprinkler berjaya menghalang kebakaran di bahagian food court Bataras Hypermarket Kolombong daripada merebak lebih besar dalam kejadian tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, kebakaran bermula di dapur memasak sebuah gerai sebelum merebak ke sistem pengudaraan (ventilation) bangunan, mengakibatkan kira-kira 30 peratus kawasan terjejas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999.

Katanya, jentera tiba di lokasi empat minit kemudian dan menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan satu pancutan air daripada pili bomba.

“Kebakaran berjaya dikawal dengan bantuan sistem sprinkler bangunan sebelum pasukan bomba menjalankan kerja pemadaman bagi mengelakkan api terus merebak,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, operasi turut dibantu anggota BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu dengan keseluruhan kekuatan seramai 45 anggota.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu dan operasi berjaya dikawal pada jam 12.29 tengah hari sebelum ditamatkan pada jam 1.35 petang.

Operasi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.