Sabah cadang perluas TASKA ke semua pejabat kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bercadang memperluaskan kemudahan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) ke semua pejabat kerajaan negeri sebagai usaha membantu penjawat awam yang mempunyai anak kecil, selain menyediakan kemudahan penjagaan yang lebih selamat dan berkualiti.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, kerajaan negeri memahami cabaran yang dihadapi ibu bapa bekerja dalam mendapatkan pusat jagaan kanak-kanak yang memenuhi piawaian keselamatan serta menawarkan persekitaran pembelajaran yang sesuai.

Beliau berkata, kementeriannya melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) telah menyediakan kemudahan TASKA di beberapa premis kerajaan seperti Wisma Wanita yang memberi manfaat kepada penjawat awam di kawasan sekitarnya.

Menurutnya, kemudahan sama turut diwujudkan di Menara Kinabalu, Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Kompleks Yayasan Sabah.

“Ketika ini kementerian sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan berkaitan sebagai persediaan untuk memperluaskan penubuhan TASKA di semua pejabat kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya Ahmad Shah, mengenai inisiatif kerajaan menyediakan TASKA atau pusat asuhan sementara untuk ibu bapa yang bekerja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Julita turut memaklumkan bahawa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) kini mengendalikan Taska Perpaduan di Nosoob Baru, Penampang serta Goshen, Kota Marudu.