Piala Borneo 2024 : TABS Naib Juara B15, Tempat Ketiga B16

KOTA KINABALU : Pasukan TABS menduduki naib juara dalam kategori B15 Malaysia Borneo Football Cup 2024 dan memenangi tempat ketiga dalam kategori B16 selepas menewaskan Canterbury Bankstone FC dari Australia 1-0 pada perlawanan penentuan di Stadium Penampang, pagi tadi.

Pada perlawanan akhir B15 juga di Stadium Penampang kelmarin, TABS tidak bernasib baik apabila kalah 0-1 kepada KKFC yang menjuarai kategori tersebut. Manakala tempat ketiga dimenangi pasukan MSSD Keningau.

Bagi kategori B16, pasukan St. George City dari Australia muncul juara kategori umur tersebut setelah menumpaskan pasukan SSN Sarawak 2-1 menerusi sepakan penalti pada perlawanan akhir.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam permainan masa penuh menyebabkan pemenang ditentukan melalui sepakan penalti.

Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim, berkata secara keseluruhan pencapaian pasukan boleh dianggap baik walaupun masih ada ruang untuk memperbaiki kualiti permainan bagi kedua-dua pasukan itu.

Katanya, dengan adanya kehadiran pasukan-pasukan dari luar yang memberi cabaran dalam kejohanan sebenarnya sangat baik untuk pendedahan kepada pemain-pemain.

“Kita meminta semua jurulatih pasukan kita meneliti aspek yang perlu dipertingkatkan dan insyaAllah ini membolehkan persediaan lebih rapi dapat dilakukan dalam kejohanan akan datang,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pegawai pengurusan, jurulatih dan pemain yang terbabit dalam kejohanan tahun ini atas kesungguhan dan prestasi pasukan masing-masing.

Katanya, pada masa sama, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada penganjur khususnya bekas pemain Sabah, Scott Ollerenshaw yang sentiasa mengundang TABS menyertai kejohanan itu setiap tahun.

Malah, katanya, Scott juga gembira melihat prestasi TABS yang mampu bersaing dengan pasukan-pasukan dari luar tahun ini.