Liek Hou Raih Pingat Emas Pertama Malaysia Di Sukan Paralimpik Paris 2024

PARIS : Kontinjen Malaysia akhirnya memperoleh pingat emas pertama di Sukan Paralimpik Paris 2024 menerusi jaguh badminton para negara Cheah Leik Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di sini hari ini.

Pada aksi final berlangsung di Porte de La Chapelle Arena di sini, Liek Hou membuktikan status selaku pilihan utama di Paris 2024 dengan menewaskan wakil Indonesia Suryo Nugroho 21-13, 21-15 dalam masa 42 minit, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Tokyo 2020.

Selepas kedudukan terikat 3-3 pada awal set pertama, pemain nombor satu dunia itu menguasai kawalan dan terus memimpin dengan mudar mendahului kelebihan tujuh mata pada kedudukan 17-10 sebelum mengesahkan permainan dengan kemenangan 21-13.

Pemain Indonesia itu, yang hanya menggunakan tangan kanannya mempertingkatkan permainannya dalam set kedua dan mengejar rapat pada kedudukan 14-15 sebelum Liek Hou mengekalkan ketenangannya dan melakukan pukulan smash untuk memastikan pingat emas Paralimpik berturut-turut dengan menokhtahkan kemenangan 21-15.

Liek Hou meraikan kemenangannya dengan memeluk jurulatihnya Nova Armada dan kemudian dengan bangga mengibarkan Jalur Gemilang di sekitar gelanggang.

Kemenangan penuh bermakna itu menyaksikan juara dunia lapan kali itu mengukuhkan rekod pertemuannya kepada 14 kemenangan daripada 18 perlawanan menentang Suryo, yang mara ke final dengan menewaskan seorang lagi pemain badminton Malaysia Muhammad Fareez Anuar 21-12, 14-21, 21-6 di pentas separuh akhir.

Semalam, Liek Hou, 36, mara ke final apabila menyingkirkan seterus utamanya dari Indonesia Dheva Anrimusthi 21-17, 21-17 dalam aksi separuh akhir.

Dalam pada itu, Dheva merangkul pingat gangsa apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengecewakan Fareez 17-21, 21-19, 21-12.