KOTA KINABALU: Jaringan minit akhir oleh pemain gantian, Mohamad Sahrizan Saidin berjaya membantu Sabah FC untuk mencerahkan peluang ke suku akhir selepas mencatat kemenangan berharga 2-1 ke atas Kelantan FC dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia 2021 malam tadi..
Kemenangan sulung diperoleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu sudah semestinya menjadikan perebutan slot ke suku akhir semakin sengit apabila mereka kini berada di tangga ketiga kumpulan selepas terikat lima mata dengan Petaling Jaya (PJ) City FC, yang tumpas kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu lagi perlawanan malam ini.
Aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu menyaksikan jaringan jarak jauh 40 meter yang cukup cantik oleh pemain pertahanan Kelantan Che Mohamad Safwan Hazman Che Hassan, gagal mengekang kemaraan Sabah yang bingkas memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan penalti pemain veteran Mohd Amri Yahyah selang seminit kemudian, untuk menjadikan kedudukan kekal 1-1 sehingga babak pertama tamat.
Bersambung babak kedua, Sabah terus meningkatkan tempo permainan dengan melancarkan serangan demi serangan ke kubu pertahanan pelawat sehinggalah pemain tengah Mohamad Sahrizan muncul wira apabila menyambar bola tandukan Mohd Amri di dalam kotak penalti untuk menolak masuk gol kemenangan ‘Sang Badak’ pada minit ke-90.
– BERNAMA