KOTA KINABALU: Kakitangan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) ditamatkan jawatan serta merta tanpa sebab awal bulan ini membuat aduan secara rasmi dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pagi ini tadi.
Mereka diketuai Malim Surat membuat aduan rasmi di pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kota Kinabalu dengan disertai tiga kakitangan yang lain.
Bercakap mewakili kakitangan terlibat, Malim berkata, empat daripada tujuh orang yang terlibat dalam pemberhentian kerja itu hadir sama membuat aduan rasmi itu di pejabat JTK di Tanjung Aru, pagi ini.
Katanya, tiga yang lain tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan peribadi masing-masing.
“Kami mahu jabatan ini membantu kami menyelesaikan soal gaji kami yang terunggak dan apa yang kami layak terima dibayar oleh SAFA memandangkan kami telah diminta mengosongkan pejabat sejak awal bulan ini,” katanya.
Menurut beliau, mereka yang terlibat dalam penamatan jawatan serta merta itu masih keliru dengan tindakan yang dikenakan terhadap mereka oleh SAFA dan pada masa yang sama mereka juga belum mendapat bayaran gaji.
“Sepatutnya jika diberhentikan, kami sudah dibayar gaji sebelum diminta mengosongkan pejabat namun sehingga sekarang, kami tidak menerima apa-apa bayaran gaji,” kata bekas pemain Sabah dan kebangsaan itu.
Kelmarin, Malim memberitahu media bahawa mereka sebenarnya terkejut dengan cara penamatan jawatan serta merta ke atas mereka kerana tiada alasan yang diberikan mengenai pemberhentian kerja serta mereka tidak melaku sebarang kesalahan.
Katanya, mereka hanya dipanggil oleh Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom untuk memaklumkan penamatan jawatan mereka atasan arahan Setiausaha Agung SAFA yang baru, Datuk Rahman Zakaria.
Bagaimanapun mereka berasa keliru dengan tindakan mendadak itu sedangkan apa yang mereka difahamkan, Pesuruhjaya Sukan (PJS) sedang menjalankan penyiasatan berhubung kongres tahunan SAFA yang diadakan pada 13 Mei lalu.
“Apabila kami dikehendaki mengosongkan pejabat, pihak SAFA patut sudah menyelesaikan semua urusan termasuk gaji kami bukan hanya buat janji saja,” tegasnya.