KOTA KINABALU: Jumlah kehadiran pelancong dari Negara Brunei Darussalam ke Sabah dijangka terus meningkat pada tahun ini.
Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Brigedier Jeneral (B) Datuk Paduka Mahmud Saidin berkata antara faktor tarikan ke negeri ini ialah lokasi pelancongan, makanan, pusat beli belah selain hubungan kekeluargaan yang akrab di antara kedua-dua buah negara.
“Pelancong Brunei ke Sabah banyak sekali sejak selesainya pandemik Covid-19 jadi kunjungan ke mari sudah mulai bertambah sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan di post-pos kawalan imigresen.
“Secara umumnya, seramai 1.2 juta pelancong Brunei ke Sabah sedangkan jumlah penduduk Brunei cuma 440 ribu orang.
“Ini bermakna tarikan selain daripada hubungan kekeluargaan ialah pusat-pusat beli belah, kepelbagaian makanan dan juga lokasi pelancongan banyak di Sabah,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, hari ini.
Menurutnya, kunjungan pertama sejak dilantik ke jawatan tersebut pada Oktober 2021 bertujuan untuk memperkenalkan diri, di samping membincangkan usaha untuk mengembangkan lagi kerjasama di antara Brunei Darussalam dan Sabah dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan.