Masalah bekalan air Tawau dijangka selesai sebelum akhir 2027, kata Hajiji

TAWAU: Masalah bekalan air yang sekian lama membelenggu penduduk Tawau dijangka dapat diselesaikan sebelum penghujung 2027 apabila Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta siap mengikut jadual.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, projek yang merangkumi pembinaan Empangan Air Tawau bagi membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1 dan 2 menunjukkan perkembangan positif dengan kemajuan fizikal melepasi jadual asal.

Beliau berkata, walaupun kontraktor mengemukakan permohonan lanjutan masa, kerajaan negeri tetap optimis projek itu akan disiapkan sebelum akhir tahun depan.

“Kita melihat perkembangan projek ini sangat baik dan berjalan mengikut jadual. Yang penting, ia dijangka siap sebelum penghujung 2027.

“Masalah ini diwarisi daripada kerajaan terdahulu, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita menyediakan peruntukan bagi memastikan isu bekalan air dapat diselesaikan demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas lawatan kerja ke tapak Empangan Air Tawau dan LRA Cinta Mata.

Menurut beliau, kerajaan bersedia mempertimbangkan tambahan peruntukan sekiranya diperlukan berdasarkan penilaian Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Taklimat JANS menunjukkan projek Empangan Air Tawau kini mencapai kemajuan fizikal 74.04 peratus setakat 25 Julai lalu berbanding sasaran 73.89 peratus.

Apabila siap, empangan itu akan membekalkan air mentah kepada LRA Cinta Mata 1, LRA Cinta Mata 2 dan LRA Utara dengan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan sebanyak 161 juta liter sehari.