Liga Super : Isu penyudah tumpul diselesaikan, fokus catat kemenangan pertama di Kelantan esok – Kim Swee

KOTA KINABALU : Sabah FC memastikan ‘isu penyudah tumpul’ dapat diselesaikan sebelum menjelang aksi pertemuan Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu malam esok.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, beberapa sesi latihan lalu tumpuan sangat diberikan kepada bagaimana menyelesaikan isu ini berikutan ia menjadi antara punca Sabah FC sekadar mencatat keputusan siri ketika perlawanan pertama menentang Penang FC lalu.

Katanya, tumpuan Sabah FC kali ini adalah bagaimana pemain dapat memastikan gol dapat dicipta menentang Kelantan Darul Naim FC sekiranya ingin mencatat kemenangan tiga sekali gus memberi motivasi kepada pasukan.

“Sasaran kita adalah ingin beraksi cemerlang disetiap perlawanan apa lagi untuk meraih tiga mata malam esok. Apa yang lebih penting di sini, adalah semua pemain perlu kekal fokus dengan apa juga corak permainan nanti.

“Sabah FC menganggap perlawanan malam esok sangat penting untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan sekali gus memastikan pulang dengan satu keputusan yang sangat positif,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menyentuh berkaitan persiapan menentang Kelantan Darul Naim FC, Kim Swee berkata, Kelantan tewas  kepada Sri Pahang FC dengan jumlah jaringan yang agak kecil kemungkinan perlawanan malam esok merupakan satu perlawanan cukup sengit.

“Keputusan tersebut membuktikan Kelantan bukan lagi seperti pasukan kelantan yang sudah kita ketahui sebelum ini ataupun pada musim lepas.

“Tugas Sabah FC lebih mencabar, ini perlawanan malam esok sudah tentu pihak tuan rumah (Kelantan) ingin mempamerkan mutu persembahan yang bertenaga, ini akan memberi cabaran besar kepada pemain untuk mendapatkan keputusan positif,” jelas Kim Swee.

Menurutnya, setakat ini tidak ada perbezaan apabila Sabah FC bermain dengan mana-mana pasukan sekali pun kerana setiap perlawanan adalah sama penting serta memberikan fokus sepenuhnya kepada perlawanan.

“Kita akan cuba mendapatkan kemenangan pertama esok, dalam masa sama kita tahu pada saingan awal Liga Super semua pasukan akan bersiap sedia dengan baik.

“Semua pemain kini bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan esok sambil ingin memastikan mereka dapat mencatat kemenangan pertama di tempat lawan sekali gus menyuntik semangat untuk menghadapi perlawanan akan datang,” katanya.