KOTA KINABALU: Sabah FC bergantung penuh kepada laporan perubatan bagi menentukan nasib empat tonggak utamanya sama ada dapat beraksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) jumaat ini.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata Telmo, Saddil, Jailton dan Gary masih mengalami kecederaan dan bergantung penuh kepada laporan perubatan untuk menentukan kedudukan mereka.
Katanya, tidak dinafikan pasukan JDT merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai liga namun Sabah FC akan cuba memberi saingan yang sengit jumaat ini.
‘Njoku Jacob masih lagi belum menunjukkan prestasi sebenarnya mungkin kerana kurang diturunkan, kemungkinan dia akan bermain dalam Piala MFL.
“Dari situ saya akan menilai prestasi Jacob, kita percaya apabila dia (Jacob) diberi peluang minit permainan prestasinya pasti akan bertambah baik.
“Kita tidak perlu terburu-buru….Seperti saya katakan dahulu, liga masih lagi terlalu awal dan yang penting semua pemain mempunyai mentaliti yang positif,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kim Swee percaya menentang JDT merupakan satu perlawanan yang sangat menarik sekali gus berharap agar Sabah FC dapat mengekalkan momentum menjelang pertemuan jumaat nanti.
Mengulas mengenai status lima pemain dipanggil untuk pasukan kebangsaan Kim Swee berkata, sudah tentu kehadiran mereka akan memberi ruang terbaik untuk memantapkan pasukan menjelang perlawanan nanti.
“Saya masih mempunyai masa dua hari lagi sebelum melihat tahap kecergasan mereka sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya.
“Kita tahu ada pemain yang bermain sebanyak dua perlawanan, ada juga bermain hanya satu perlawanan…Ini juga harus diambil kira dan bagi saya mereka merupakan pemain yang sangat penting,” katanya.