Naik taraf Stadium Likas, ikut jadual yang ditetapkan – Ellron

KOTA KINABALU: Proses kerja penambahbaikan dan naik taraf Stadium Likas berjalan dengan lancar mengikut jadual ditetapkan, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Alfred Angin.

Beliau menyatakan perkara ini kepada media semasa turun padang ke Stadium Likas hari ini, bagi melihat sendiri proses penambahbaikan dan naik taraf stadium berkenaan.

“Saya melihat proses penambahbaikan dan naik taraf Stadium Likas berada pada landasan menepati jadual yang telah dipersetujui,” katanya.

Terdahulu beliau sendiri sempat menyaksikan percubaan papan markah (Scoreboard) yang menggunakan sistem teknologi Omega dan memberikan respon yang amat positif.

Antara kemudahan lain yang bakal menjadikan Stadium Likas juga setanding dengan stadium-stadium lain di Malaysia ialah penggunaan sistem VAR (Video Assistant Referee) iaitu satu sistem yang amat penting untuk digunakan oleh para pengadil.

Ellron menyifatkan penggunaan teknologi tinggi iaitu sistem Scoreboard dan sistem VAR merupakan satu perkembangan positif kepada sukan bolasepak Sabah.

“Dan pastinya peminat-peminat sukan bolasepak pastinya sudah sekian lama menunggu perubahan positif kepada Stadium ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, dengan adanya kemudahan-kemudahan seperti ini, bukan sahaja perlawanan bolasepak malah kejohanan sukan lain akan mendapat impak positif iaitu penganjuran yang lebih cekap dan berkesan.

Ia sekaligus meningkatkan kredibiliti dan kualiti sukan negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi, katanya.

Proses penambahbaikan dan naik taraf berkenaan yang bermula pada bulan Mei tahun ini telah hampir siap 90 peratus dan dijangka bakal siap sepenuhnya sebelum 15 September tahun ini.

Dalam pada itu, Pengurus Stadium Likas Alfried Bily berkata meskipun belum siap sepenuhnya, Stadium Likas sudah boleh mula beroperasi dan perlawanan dalam Liga Super esok antara Sabah FC dan Negeri Sembilann dan dijangka akan menggunakan sistem teknologi yang baru.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Mansur Asun dan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Terrance Edward Puddin.