Sabah catat kemenangan ketiga Liga Futsal Premier Malaysia

KOTA KINABALU: Sabah mencatat kemenangan ketiga dalam saingan Liga Futsal Premier Malayasia (MPFL) selepas menumpaskan pasukan ATM 6-0 di Gelanggang Futsal Yayasan Sabah di sini, Ahad lepas.
Ini merupakan kejayaan kali ketiga berturut dalam liga tersebut di mana sebelum ini Sabah menewaskan pasukan Kedah 4-2 dan pasukan KPT Mustang 2-1.
Perlawanan pertama kali di tempat sendiri itu, Sabah memanfaatkan sepenuhnya kelebihan tersebut dengan mencatat kemenangan besar 6-0 selepas permulaan yang hambar dalam pertama menyaksikan mereka tumpas kepada Pahang Rangers 9-1.
Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, berkata kemenangan kali ketiga berturut ini membuktikan pasukan sudah dapat mengembalikan momentum dan rentak permainan mereka.
Katanya, ini satu petanda baik untuk pasukan terus mara memberi persembahan yang lebih baik dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.
“Kita lupakan persembahan hambar dalam perlawanan pertama sebelum ini, apa yang penting momentum kemenangan ketika ini dapat kita teruskan,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau memberitahu, Sabah akan meneruskan saingan dalam liga tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri dengan menentang pasukan Terengganu di Kuala Terengganu pada 29 April ini.
Sabah kemudian akan melayan kunjungan pasukan Pulau Pinang di Gelanggang Futsal Yayasan Sabah pada 7 Mei ini.
Sementara itu, David juga menambah bahawa satu perlawanan persahabatan pra-musim empat penjuru akan diadakan di sini pada 14-16 April ini.
Pasukan itu membabitkan pasukan Sabah FA, Selangor Tot United, Almerez Futsal Club dari Brunei Darussallam dan KK City Futsal Club.
Semua perlawanan tersebut akan dijalankan pada sebelah malam dari jam 9.00-11.00 malam.