Sabah FC umum 3 pemain import minggu depan – Kim Swee

KOTA KINABALU: Sabah FC umumkan slot baki tiga kuota pemain importnya akan dapat diketahui pada minggu depan.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, Sabah FC memerlukan seorang atau dua penyerang import manakala satu lagi sama ada di bahagian pertahanan atau tengah bagi mengimbangi kekuatan pasukan.

Katanya, pemain import akan berada di Sabah selewat-lewatnya awal Februari depan bagi membolehkan mereka dapat menjalani latihan bersama-sama pemain lain.

“Kalau tidak silap saya, ada satu lagi slot yang masih belum dipenuhkan….namun kita harus tunggu sehingga minggu depan untuk memutuskan senarai akhir pemain import kita.

“Jason Romero berada di sini selama seminggu untuk trial dan kita akan buat keputusan selewat-lewatnya pada minggu hadapan untuk menentukan adakah beliau juga berjaya mengisi satu lagi kekosongan kuota pemain import nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan persahabatan menentang Kinabalu Jaguar FC (KJFC) di sini malam tadi.

Kim Swee berkata, beliau positif Sabah FC akan memperolehi tenaga pemain import yang berkualiti sekali gus dapat membantu pasukan di masa depan.

“Ketika ini kita berada pada landasan terbaik dengan mempunyai banyak barisan pemain yang boleh diketengahkan termasuk pemain muda mengalas tugasan menjelang Liga Malaysia 2022,” katanya.