Pasukan TABS B16 tumpu Grand Final Suparimau Piala Borneo

KOTA KINABALU : Pasukan TABS B16 akan memberi tumpuan grand final Liga Suparimau 2024 di Kuala Lumpur Disember ini di samping Kejohanan Piala Borneo di sini, bulan depan.

Jurulatih pasukan itu, Rosly Jamal berkata, pihaknya sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi saingan kedua-dua kejohanan tersebut.

Katanya, grand final Liga Suparimau 2024 akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 14-15 Disember ini dan Kejohanan Piala Borneo di sini awal bulan depan.

“Pemain-pemain terpaksa menjalani latihan dengan lebih giat kerana mereka perlu fokus terhadap kejohanan itu terutama Piala Borneo yang cuma tinggal hampir dua minggu sahaja lagi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau menambah, dalam masa yang sama pasukannya juga terlibat dalam Liga Suparimau peringkat Sabah di Kota Kinabalu, minggu depan.

“Sudah tentu pemain-pemain sangat sibuk berlatih namun mereka sentiasa bersedia untuk berhadapan situasi seperti itu,” katanya sambil mengharapkan tiada pemain mengalami kecederaan sepanjang sesi latihan.

“Rosly menganggap grand final Liga Suparimau di Kuala Lumpur penting bagi TABS memandangkan semua pasukan bertanding merupakan pasukan terbaik dari negeri-negeri di Semenanjung.

“TABS yang mewakili Sabah perlu menyediakan pasukan yang baik untuk bersaing dengan pasukan lawan nanti. Ini satu cabaran bagi kita dan pemain-pemain perlu menggalas tugas tersebut,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, saingan Piala Borneo bulan depan juga tidak kurang hebatnya kerana membabitkan pasukan-pasukan dari luar.

“Justeru, pasukan kita perlu membuat persiapan lebih rapi agar mampu bersaing nanti,” tegas beliau.