KOTA KINABALU : Sabah FC berhadapan tugas sukar apabila ‘Ramon Machado dan Saddil Ramdani’ mungkin terlepas beraksi menjelang sepak mula Liga Super menentang Penang FC di Stadium Likas petang esok.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata kedua-dua mereka masih belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan selepas perlawanan persahabatan pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 baru-baru ini.
Katanya, masih ada tempoh 48 jam untuk melihat secara keseluruhan tahap kecergasan mereka sebelum dapat diturunkan atau sebaliknya.
“Kita tidak akan mengambil risiko berikutan perjalanan Liga Super baru bermula dan dalam masa sama Sabah FC sedang mencorak taktikal lain untuk mengisi kekosongan sekiranya kedua-dua mereka tidak dapat diturunkan petang esok.
“Selain itu, S.Kumaahran juga berada dalam senarai kecederaan manakala Damien Lim sudah pasti terkeluar tidak dapat beraksi kemungkinan selama enam hingga ke lapan minggu.
“Kita akan lihat perkembangannya, Damien Lim memerlukan masa untuk mendapatkan semula tahap kecergasannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ketika mengulas mengenai persiapan Sabah FC menentang Penang FC, Kim Swee berkata, ini bukan satu perlawanan mudah memandangkan Penang FC mempunyai jurulatih yang baharu serta beberapa pemain sangat berkualiti.
“Penang FC juga bersiap sedia dengan banyak menghadapi perlawanan persahabatan pra musim termasuk tiba dua hari lebih awal ke Kota Kinabalu.
“Ini menunjukkan Penang FC sangat serius dalam menghadapi saingan musim 2024/25. Sabah FC juga sudah bersiap sedia sepenuhnya dalam mengharungi kempen Liga Super ini selepas menjadi juara dalam Piala SMJ lalu,” jelas Kim Swee.
Menurutnya, banyak kelemahan dan kekuatan dapat dilihat, disamping cuba memperbaiki beberapa kelemahan sedia ada sekali gus akan mampu mencapai keputusan positif pada perlawanan pertama petang esok.
“Sudah tentu, Sabah FC memerlukan sokongan padu dalam kalangan penontonnya…Ayuh semua datang ke Stadium Likas esok,” katanya.