Tugas Sukar, Tanpa Aksi Tiga Tonggak Suku Akhir Piala FA Malam Ini – Kim Swee

KOTA KINABALU: Sabah FC turun beraksi tanpa ‘Tiga Tonggak Utama’ pada perlawanan Suku Akhir Piala FA menentang Kuala Lumpur FC di Stadium Likas malam ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, Saddil Ramdani, Kwang Min Ko dan Irfan Zakaria masih berada dalam senarai kecederaan kemungkinan besar tidak dapat beraksi pada perlawanan penting hari ini.

Katanya, perlawanan ini sangat berbeza kerana ia merupakan suku akhir Piala FA sistem kalah mati sekali gus memerlukan pemain memanfaatkan beraksi di tempat sendiri.

“Apa yang pasti Saddil tidak dapat beraksi malam ini….Kwang Min Ko serta Irfan Zakaria baru saja pulih daripada kecederaan. Saya pantau tahap kecergasan mereka dan berharap dapat pulih sepenuhnya untuk bersama pasukan kita malam ini.

“Kita harus mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri untuk memastikan Sabah FC layak ke peringkat seterusnya. Sudah tentu keinginan kita ingin melangkah ke peringkat seterusnya.

“Hari ini semua pemain perlu fokus….Jangan terlalu memikirkan ke peringkat lain, Hari ini adalah perlawanan yang cukup penting, saya tidak ingin pemain memikirkan tentang untuk layak ke separuh akhir sehingga hilang fokus pada perlawanan penting malam ini,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kim Swee berkata, Sabah FC perlu mengelak tewas di Likas terutama di hadapan penonton sendiri, malah mereka perlu menjalankan tugas sekali gus membuktikan layak ke peringkat seterusnya.

Ketika mengulas mengenai persiapan malam ini Kim Swee berkata, bellau yakin prestasi pemain berada kini pada tahap memberangsangkan selepas tamat perlawanan menentang Perak FC lalu.

Menurutnya, perlawanan dalam Liga Super serta  Piala FA sangat berbeza kerana ini merupakan suku akhir menuntut komitmen tinggi dalam kalangan pemain apabila beraksi di laman sendiri.

“Kita harus memperbaiki lagi daripada segi bertahan ataupun di bahagian pertahanan. Semua pemain harus faham di mana kita tidak boleh sentiasa dibolosi pada setiap perlawanan.

“Jika kita mampu mengawal permainan dengan baik serta bertahan dengan baik, saya percaya kita mempunyai peluang yang cukup baik untuk layak ke peringkat seterusnya malam ini,” katanya.