Piala Malaysia: Sabah FC bersiap sedia layani kunjungan Kuching City FC malam ini – Martin

KOTA KINABALU : Kehadiran semula beberapa pemain kebangsaan dijangka menyuntik semangat untuk memastikan Sabah FC mampu menewaskan Kuching City FC pada pertemuan kedua Piala Malaysia di Stadium Likas malam ini.

Ketua Jurulatihnya, Martin Stano berkata, Dominic Tan, Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Darren Lok dilihat sudah menyertai sesi latihan bersama Sabah FC hari ini.

Katanya, perlawanan esok sangat penting bagi memastikan Sabah FC dapat melangkah ke peringkat separuh akhir nanti.

“Berbekalkan kelebihan satu gol macam-macam boleh berlaku…Sehingga kini Sabah FC menjalani latihan mingguan seperti biasa, mempunyai masa yang cukupnya untuk pulih daripada perlawanan sebelumnya sekali gus mencatat keputusan positif malam ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Martin berkata, kelebihan bermain di gelanggang sendiri dilihat dapat menyuntik semangat serta motivasi daripada penyokong setia Sabah FC.

“Kita akan mempamerkan kualiti permainan yang baik , disamping fokus mencapai keputusan positif di Stadium Likas.

“Kita mahu penyokong setia Sabah FC turun beramai-ramai memberikan sokongan padu untuk memastikan dapat melangkah ke peringkat separuh akhir,” jelas Martin.