Sabah FC perkuat Sang Badak dengan dua import baharu

KOTA KINABALU: Sabah FC terus memperkukuh persiapan menghadapi Liga Super 2026/2027 apabila membawa masuk dua pemain import baharu bagi memperkasakan skuad Sang Badak.

Pemain yang diumumkan ialah pertahanan dari Sepanyol, Kike Lopez, yang sebelum ini beraksi bersama Deportivo Guadalajara di Mexico dan pemain tengah Korea Selatan, Park Jungbin dari Visakha FA.

Lopez berkata beliau akan memberikan komitmen penuh dalam setiap perlawanan demi membantu kelab mencapai sasaran musim ini.

Park pula berharap kehadirannya mampu membantu Sabah FC mencatat lebih banyak kemenangan sepanjang kempen Liga Super.

Sebelum ini Sabah FC turut mendapatkan khidmat pemain tengah antarabangsa Filipina Oskari Kekkonen selain menandatangani empat pemain tempatan.

Sabah FC dijadual memulakan kempen Liga Super dengan menentang STAR City FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 23 Ogos.