Bapa jangan sekadar sedia nafkah, kata Julita

PENAMPANG: Golongan bapa diseru supaya tidak hanya menumpukan kepada penyediaan nafkah, sebaliknya memainkan peranan lebih menyeluruh dalam membimbing dan membentuk sahsiah anak-anak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh institusi keluarga menerusi pelbagai program pendidikan, pembangunan komuniti dan sokongan kepada ibu bapa.

Beliau berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan kementerian lain serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi memastikan setiap keluarga di Sabah menerima sokongan yang sewajarnya.

Katanya, seorang bapa perlu menjadi pelindung, pembimbing dan sumber inspirasi kepada anak-anak serta tidak menjadi absentee father.

Selain itu, beliau menggalakkan amalan makan bersama keluarga bagi mengeratkan hubungan serta membuka ruang perbincangan antara ibu bapa dan anak-anak.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sabah 2026 bertemakan ‘Sehebat Kasih Bapa’ yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta di Penampang.