14 pasukan bersaing dalam Borneo Sevens 2024 di Sandakan

SANDAKAN : Sebanyak 14 pasukan ragbi termasuk enam pasukan wanita akan bersaing merebut gelaran Borneo Sevens 2024.

Kejohanan yang akan berlangsung di Kelab Ragbi Eagles di Sandakan pada 9 dan 10 Mac itu menawarkan siri perlawanan menarik daripada pasukan terkenal.

14 pasukan bersaing dalam Borneo Sevens 2024 di Sandakan.

Pengerusi Penganjur, Velayuthan Tan berkata juara Borneo Sevens 2024 bagi kategori lelaki dan perempuan masing-masing akan membawa pulang trofi dan wang tunai USD5,000.

Manakala, tempat kedua bagi kedua-dua kategori akan menerima USD2,000.

Beliau berkata, Borneo Sevens bermula sejak 23 tahun lalu sebagai satu kejohanan biasa dan telah berkembang menjadi salah satu kelab utama Sevens di Asia.

“Sudah bertahun kami laksanakan acara ini sebagai sebahagian daripada Festival Sandakan untuk mempromosi daerah ini. Kami telah menunaikan janji dan terus menganjurkan kejohanan ini yang menarik penyertaan pasukan terbaik dari Australia, New Zealand dan Fiji. Ini adalah pencapaian luar biasa bagi kami.

“Tahun ini kita juga menganjurkan karnival beberapa acara lain seperti pertunjukan kereta and persembahan artis tempatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Ramesh Lachmanan berkata dalam kategori lelaki, lapan pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Pool A disertai Borneo Eagles, Briars, Belgium dan Malaysia Uni.

Manakala, Pool B merangkumi Cavaliers, Uzbekistan, Delhi Hurricanes dan DKI Jakarta.

Kategori perempuan melibatkan pasukan Borneo Flyers, Uzbekistan, Philippines Eagles RFC, Briars, BAC Singapore dan DKI Jakarta.

Kapten Rumah Kelab Ragbi Eagles, Jonathan Tan berkata kejohanan tahun ini berkonsepkan suasana seperti karnival sebagai usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung.

“Kami bermula dengan klinik latihan yang dikendalikan oleh Borneo Eagles dan Cavaliers. Kami juga ada kejohnan veteran 10 sebelah yang mana kami berharap dapat anjurkan acara ini setiap tahun untuk menarik pemain yang berusia 40 tahun ke atas,” kata Jonathan.