KOTA KINABALU : Notis singkat gangguan bekalan dikeluarkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) selama 10 hari mengelirukan ribuan penduduk yang terjejas khususnya di kawasan Putatan, dan Penampang.
Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed berkata, sepatutnya JANS perlu bersikap ‘Professional’ sekali gus mengurus tadbir sistem pengurusan air di Sabah secara bersistematik.
Katanya, pengeluaran notis catuan bekalan air secara tergesa-gesa perlu dielakkan bagi mengelak menimbulkan masalah besar dalam kalangan rakyat yang terjejas.
“Semalam tular satu video pendedahan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya mengatakan terdapat kesilapan berkaitan notis singkat tempoh catuan bekalan air di kawasan Putatan dan Penampang berkuatkuasa 10 hari.
“Rakyat tidak mahu mendengar masalah kesilapan tersebut, apa yang mereka mahu hanyalah bekalan air agar tidak terjejas lebih-lebih ketika mereka menyambut bulan Ramadan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jeffrey Nor merupakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berkata, soal berkaitan dengan masalah teknikal dialami syarikat konsesi air Kota Kinabalu, Jetama Sdn Bhd adalah dibawah tanggungjawab yang perlu mereka selesaikan dalam tempoh terdekat.
“Ketika ini rakyat sedang menghadapi situasi yang berulang kali serta ‘Kabur’ mengenai situasi masalah air di negeri Sabah.
“Jetama Sdn Bhd seharusnya lebih memaklumkan awal kepada JANS jika masalah ini boleh diselesaikan dengan penambahan atau penampungan bekalan air di tempat lain,” jelas Jeffrey Nor.
Menurutnya, siapa mahu bertanggungjawab dengan suasana panik, rakyat mahu hanya bekalan air yang mencukupi ketika mereka bersiap sedia menghadapi bulan Ramadan.
“Ketika ini rakyat kesian menjadi kelam-kabut untuk menyimpan bekalan air. Kita mencadangkan agar komunikasi yang baik antara JANS dan Jetama mungkin boleh digunakan untuk membantu menyampaikan segala maklumat tepat kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Ini penting bagi meningkatkan semula keyakinan rakyat terhadap Jabatan Air….Namun saya yakin rakyat sudah mula tidak lagi menaruh harapan tinggi kepada JANS berikutan gangguan air hampir setiap hari berlaku di seluruh negeri ini,” tambah Jeffrey Nor.