Kos Klinik Kesihatan Sungai Manila meningkat kepada RM34.82 juta

KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 6 bersama kuarters di Sungai Manila, Sandakan masih belum dapat diteruskan ke peringkat tender kerana projek itu masih berada dalam fasa pra-pelaksanaan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat berkata, beberapa penyelarasan teknikal dan kewangan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum projek berkenaan boleh memasuki fasa pelaksanaan.

Beliau berkata, dokumen Preliminary Details Abstract (PDA) telah diterima dan dibentangkan, namun berlaku peningkatan kos projek daripada RM15 juta kepada RM34.82 juta.

Menurutnya, peningkatan kos itu berpunca daripada pertukaran tapak projek, perubahan reka bentuk serta kenaikan harga pasaran semasa yang memberi kesan kepada anggaran keseluruhan kos pembinaan.

“Sehubungan itu, permohonan Notice of Change (NOC) perlu dikemukakan bagi menaikkan siling projek kepada RM35 juta sebelum ia boleh dibawa semula ke Mesyuarat PDA untuk pertimbangan lanjut,” katanya dalam jawapan bertulis pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah kini sedang menyediakan dokumen berkaitan bagi melengkapkan proses tersebut.

Perkara itu dijelaskan bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa yang ingin mengetahui status cadangan pembinaan Klinik Kesihatan di kawasan berkenaan serta jangkaan tarikh pelaksanaannya.

Katanya, kerajaan negeri komited memastikan semua keperluan teknikal dan kewangan dipenuhi terlebih dahulu supaya pelaksanaan projek dapat berjalan lancar apabila kelulusan diperoleh.