Liga Super: Kemenangan Sabah FC tewaskan Sri Pahang FC 4-0 jadi hadiah istimewa untuk Baddrol Bakhtiar

KOTA KINABALU: Kemenangan Sabah FC 4-0 terhadap Sri Pahang FC pada saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi menjadi hadiah istimewa kepada Baddrol Bakhtiar pada aksi terakhirnya bersama skuad Badak.

Sabah FC membuka jaringan pada minit ke-9 menerusi Darren Lok selepas menerima hantaran daripada Ramon Machado.

Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee menurunkan gandingan Ramon Machado, Saddil Ramdani dan Darren Lok dibahagian serangan berjaya mengucar ngacirkan pertahanan Sri Pahang FC.

Keserasian antara mereka berjaya menambah gol kedua Sabah FC menerusi Ramon Machado pada minit ke-43 selepas menerima hantaran daripada Saddil Ramdani.

Bersambung separuh masa kedua, Sabah FC yang banyak menguasai permainan berjaya menambah gol ketiga menerusi jaringan kedua Darren Lok pada minit ke-64 selepas menerima hantaran daripada Mohd Irfan Fazail.

Lima minit kemudian pada minit ke-69, Stuart Wilkin yang berada pada tahap terbaiknya menjaringkan gol keempat Sabah FC menerusi satu serangan balas pantas.

Pada minit ke-79, Baddrol Bakhtiar masuk menggantikan Mohd Irfan Fazail untuk aksi terakhirnya bersama Sabah FC.

Sabah FC hari ini yang mengumumkan pengunduran Baddrol daripada skuad Badak atas sebab yang akan diumumkan kemudian.

Sabah FC dengan 33 mata kekal dikedudukan keempat pasukan dalam Liga Super 2023, ketinggalan 1 mata kepada Sri Pahang FC dikedudukan ketiga.