Alijus sumbang bola dan jaring kepada TABS SAFA Bandaraya

KOTA KINABALU : Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Alijus Sipil memberi sumbangan bola dan jaring kepada Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) SAFA Bandaraya, pagi ini (Sabtu).

Beliau yang juga penasihat TABS menyerahkan sumbangan itu kepada Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim.

Turut hadir  pada majlis itu Setiausaha SAFA Bandaraya, Juraidah Abdul Rahim, Setiausaha TABS, Amsir Abdullah, Ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad dan ahli jawatankuasa TABS, Moksin Dusin.

Menurut Alijus, sumbangan itu sebagai tanda sokongan berterusan beliau terhadap program pembangunan bola sepak akar umbi yang dijalankan TABS SAFA Bandaraya.

Beliau juga merupakan bekas Presiden SAFA Bandaraya dan bekas Pengerusi TABS sebelum ini.

Tambah beliau, pihaknya berharap program pembangunan bola sepak TABS akan terus berjalan dengan baik kerana ia telah melahirkan ramai pemain-pemain berbakat yang berjaya mewakili pasukan negeri.

Sementara itu, Lokman mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Presiden SAFA itu atas sumbangan yang beliau berikan kepada TABS.