SANDAKAN : Tua itu pasti. Tetapi mahu menjadi orang tua yang sihat dan cergas ataupun bergantung dengan ubat-ubatan, itu adalah pilihan masing-masing.
Itu antara perkongsian membuka minda daripada Rabaina Kassim, 52, pelatih paling berusia di Vibe Fitness iaitu satu-satunya studio kecergasan wanita yang menawarkan latihan kekuatan (strength training) dan latihan bebanan (weight training) di Sandakan.
Pernah mencapai berat lebih 100 kilogram sebelum ini, beliau mula menjaga pemakanan dan melakukan senaman ringan seperti berjalan, berlari dan mendaki bukit hingga berjaya menurunkan berat sebanyak 21 kilogram.
Bagaimanapun, beratnya naik semula hampir 10 kilogram semasa krisis wabak Covid-19 melanda dan ia menyebabkan beliau mulai kembali menjaga kesihatan diri.
“Semasa berjaya menurunkan berat badan, memang sosok tubuh badan susut. Tetapi, dari segi stamina pula rasa berbeza. Saya dapat rasa badan lembik sedangkan saya sepatutnya rasa lebih cergas kerana berat menurun.
“Kemudian saya nampak di ‘Youtube’ mengenai latihan bebanan. Saya ambil masa juga untuk mengumpul maklumat mengenai kebaikan senaman ini sebelum mencubanya. Salah satu yang saya fikirkan adakah faktor umur lanjut seperti saya ini masih layak untuk mengangkat besi?,” soalnya.
Mendapat sokongan penuh daripada suami, beliau akhirnya memberanikan diri untuk hadir ke kelas latihan bebanan di Vibe Fitness pada awal tahun ini dan kini semakin selesa dan serasi dengan rutin senaman tersebut.
Meskipun pada awalnya, beliau berasa segan kerana majoriti pelatih lain jauh lebih muda dan bertenaga, namun itu tidak memadam semangatnya untuk terus menguasai teknik mengangkat beban yang betul.
Hasilnya, kini beliau merupakan antara pelatih yang mampu mengangkat beban 20 kilogram dan berjaya menyiapkan rutin senaman yang diberikan dengan baik.
“Biarpun usia sudah lanjut, tetapi jiwa saya masih muda. Saya sentiasa mencabar diri untuk terus maju ke depan, termasuk dari segi berat beban yang diangkat. Saya tidak mahu datang ke studio untuk mengangkat beban yang makin ringan, itu tidak akan membawa perubahan.
“Saya angkat berat bukan juga semata-mata mahu kurus atau jadi sasa, tetapi kekuatan tenaga dan stamina itu yang saya mahu. Kalau dapat turunkan berat badan, itu adalah satu bonus,” jelasnya.
Hampir setahun mengikuti kelas latihan bebanan, Rabaina berkata perubahan paling ketara yang dirasainya adalah tahap stamina diri yang semakin baik selain mampu mengawal selera makan.
Katanya, ia secara tidak langsung membantunya menjalani kehidupan dengan lebih baik termasuk lebih mudah ketika melakukan solat.
“Kalau dahulu, biasanya saya memang akan minta suami atau anak untuk bantu buat kerja-kerja berat. Tetapi sekarang, setakat mengangkat satu karton air mineral atau sekampit beras 10 kilogram, itu tidak menjadi masalah bagi saya.
“Ditambah lagi dengan saya yang tinggal di rumah flat tanpa lif, naik turun tangga itu tidak sudah seperti dahulu yang selalu rasa cepat semput dan mengah. Sekarang saya menjadikan rutin naik turun tangga itu sebagai satu senaman,” katanya.
Bagaimanapun, Rabaina juga tidak lari dari kata-kata negatif terutama daripada jirannya yang kebanyakan berpendapat beliau hanya membuang masa pergi ke studio dan seperti buang tabiat mahu mengangkat berat dalam usia lanjut.
“Dalam usia sebegini, saya mahu melakukan aktiviti yang saya gemari dan boleh memberi manfaat untuk diri. Walaupun, ada jiran yang seperti merendahkan usaha saya ini, tetapi saya abaikan.
“Saya berpendapat selagi apa yang saya lakukan ini tidak merugikan sesiapa, saya tidak perlu ambil peduli kata-kata negatif orang di sekeliling. Cukup sekadar suami dan keluarga tahu apa tujuan saya pergi ke studio iaitu demi kesihatan,” kata Rabaina.