Sabah FC tundukan Kuching City FC 2-1

KUCHING: Sabah FC, menduduki tangga kedua liga selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC malam tadi.

Skuad Sang Badak yang turun dengan formasi 3-4-3, bermula cemerlang apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani yang menyudahkan gerakan dari kiri padang yang dimulakan kapten pasukan, Park Tae-su dari Korea Selatan, pada minit ke-24.

Namun, penyerang Kuching City FC, Abu Kamara berjaya menceriakan penyokong tuan rumah apabila menyamakan kedudukan pada minit kecederaan untuk menutup tirai babak pertama dengan kedudukan terikat seri 1-1.

Bersambung babak kedua, anak buah Datuk Ong Kim Swee terus melakukan asakan ke kubu tuan rumah lalu berjaya menghukum anak buah Irfan Bakti Abu Salim apabila pemain tengah Sabah, Telmo Castanheira, mengesahkan kemenangan Sang Badak pada minit ke-58.