“Jangan terlalu selesa, perjalanan Liga Super masih panjang”- Kim Swee

KUALA LUMPUR: Menjelang aksi Liga Suoer menentang KL City FC, pemain Sabah FC perlu fokus mencapai keputusan positif di Stadium Cheras malam ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata pemain perlu kikis  sifat terlalu ‘selesa’ dengan pencapaian beberapa kemenangan dalam tiga perlawanan yang lalu.

Katanya, mereka perlu bersikap matang sambil memberi keutamaan untuk meningkatkan prestasi permaian sekali gus mencapai keputusan positif malam ini.

“Masih terlalu awal untuk kita merasa selesa. Pencapaian kemenangan berturut-turut di tempat lawan sangat berbeza apabila bertemu dengan KL City FC malam ini.

“Kita harus kekal fokus, selain mengekalkan disiplin tinggi untuk memberi keyakinan agar tidak akan kehilangan mata penting dalam setiap perlawanan yang dilalui,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Kim Swee berkata perjalanan liga masih panjang kerana pelbagai masalah akan timbul sekiranya pemain leka sekali gus selesa dengan pencapaian yang dilalui selama ini.

“Untuk perlawanan malam ini, saya jangkakan ia akan menguji segala aspek permainan, baik dari segi menyerang atau bertahan kerana kita tahu pasukan KL City FC mempunyai barisan pemain yang berkualiti,” katanya.

Selain itu juga,  KL City FC memiliki barisan pemain yang berpengalaman serta komited bagi mengekalkan staus juara Piala Malaysia musim lalu.

“KL City FC memiliki kelebihan apabila bermain di laman sendiri sekali gus bermotivasi tinggi selepas mencapai kemenangan pertama bertemu Melaka United FC. Ini sudah pasti mereka ingin meneruskan rentak kemenangan malam ini,” katanya.

Kim Swee menganggap ini merupakan ujian paling getir disamping memerlukan komitmen serta motivasi tinggi agar pemain kekal fokus dalam perlawanan malam ini.