Sabah sepatutnya dapat lebih besar daripada RM125.6 juta – Shafie

TAWAU: Sabah sepatutnya menerima lebih besar Pemberian Khas dari Kerajaan Persekutuan, berbanding hanya RM125.6 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jumlah sepatutnya yang diterima Sabah adalah jauh lebih besar jika pungutan hasil 40 peratus Persekutuan dari Sabah sejak 1970an diambil kira.

Katanya, pemberian khas yang lebih besar kepada Sabah  sudah diperjuangkan Parti Warisan ketika menjadi kerajaan negeri sebelum ini.

“Kita lihat pemberian khas itu adalah hak negeri ini sepertimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hasilnya pada 2019, Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) mengumumkan kadar pemberian khas tahunan kepada Kerajaan Sabah dinaikkan secara berperingkat daripada RM26.7 juta sejak 1969 kepada RM53.4 juta pada tahun 2020 sehingga mencapai RM106.8 juta dalam tempoh lima tahun, “ katanya.

Shafie berkata, pada mulanya beliau tidak bersetuju pada jumlah itu, namun kerajaan negeri pimpinan Warisan ketika itu terus mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Persekutuan agar  menaikkan lagi kadar pemberian khas tahunan kepada Sabah.

“Kita sudah perjuangkan, masa saya jadi kerajaan, tidak pernah berlaku sejak tahun 1974, duit yang dibagi Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya 40 peratus pungutan cukai, berjumlah hanya RM25 juta sahaja.

“Bila saya bersuara dia naikkan RM56 juta, tapi saya bagitahu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Lim Guan Eng masa Menteri Kewangan, saya bagi tahu kerana keadaan formula itu tidak setuju, pada peringkat awal saya tidak setuju menerima.

“Tapi tidak apa saya terima waktu tu, tapi formula yang digunakan bukan RM56 juta,” katanya.

Shafie berkata, Sabah memerlukan pemberian khas yang sepatutnya mengikut kadar 40 peratus hasil negeri yang dikutip Persekutuan untuk manfaat rakyat.

Antaranya bagi pembangunan bekalan air, sekolah, jalanraya serta aspek keselamatan di Sabah.

“Ini pun ada cadangan nak bagi Sabah Sarawak RM126 juta, itu bukan sepatutnya. Kita Sabah daripada tahun 1970an, sepatutnya sudah berapa billion yang hasil Sabah dan Sarawak diperolehnya, ini bagi RM100 juta lebih.

”Kita perlukan bekalan air di Lahad Datu, ini tidak cukup, keselamatan, jalanraya yang begitu daif, sekolah yang masih berpapan, duit tu kita perlukan untuk kepentingan rakyat yang ada,” katanya.