Liga Super: Sabah FC kongsi satu mata dengan Terengganu FC, kekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Likas

KOTA KINABALU: Sabah FC mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Terengganu FC di Stadium Likas di sini, malam tadi.

Sebaik perlawanan dimulakan,, Sabah FC melakukan beberapa serangan yang akhirnya menghasilkan gol pertama menerusi jaringan Timo Castanheira yang menerima sepakan percuma dari Kapten pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-26.

Sabah FC kemudian menambah jaringan kedua menerusi Darren Lok yang menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan oleh pengadil perlawanan S. Logeswaran pada minit ke-37 selepas bola terkena tangan pemain Terengganu FC Sardor Kulmatov.

Terengganu FC cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan sebelum berakhir separuh masa pertama dan berhasil menerusi jaringan tendangan percuma oleh Sony Norde pada minit ke-46.

Separuh masa kedua, Sabah FC membawa masuk Rawilson Batuil menggantikan Jafri Firdaus Chew bagi memperkemaskan pertahanan.

Ketua jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim s
Swee turut membawa masuk Jailton Da Silva, Gary Robert dan Mohd Amri Yahya menggantikan S. Kumaahran, Park Taesu dan Baddrol Bakhtiar.

Hasrat Sabah FC meneruskan rentak kemenangan tidak kesampaian selepas Sony Norde menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-94 sekali lagi menerusi sepakan percuma.

Perlawanan seterusnya bagi Sabah FC adalah pada 23 Mei ini menentang Perak FC di Stadium Likas.