Perlawanan persahabatan Sabah FC menentang Melaka FC malam ini dibatalkan – Mohd Joh

KOTA KINABALU : Perlawanan persahabatan membabitkan antara Sabah FC menentang Melaka FC yang sepatutnya berlangsung pukul 7.30 malam ini di Stadium Likas Kota Kinabalu terpaksa dibatalkan.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata pembatalan perlawanan bola sepak persahabatan ini susulan impak yang tercetus akibat letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia baru-baru ini.

Katanya Sabah FC memohon maaf serta mengucapkan terima kasih atas sokongan semua peminat bola sepak yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.

“Kita berharap agar kejadian letusan Gunung Ruang ini akan kembali pulih seperti sediakala dan tiada sebarang perkara tidak diingini  berlaku bagi membolehkan jadual perlawanan persahabatan lain dapat diadakan selepas ini.

“Setakat ini Sabah FC akan menawarkan dua pilihan kepada mereka yang sudah membeli tiket perlawanan tersebut iaitu sama ada wang akan dikembalikan atau diubah untuk menyaksikan perlawanan Piala SMJ nanti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Joh berkata, setakat ini belum ada pengumuman rasmi sama ada perlawanan Sabah FC menentang Melaka FC akan dijadualkan semula dalam tempoh terdekat.

“Apa yang pasti tiket perlawanan membabitkan Sabah FC menentang Melaka FC boleh digunakan untuk menyaksikan salah satu perlawanan pada kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) nanti.

“Sekali lagi bagi pihak Sabah FC memohon kemaafan atas perkara ini dan berharap agar keadaan akan kembali pulih dalam tempoh terdekat,” jelas Mohd Joh.