BEAUFORT: Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Cerah Commercial Centre, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.
Beliau berkata, Pegawai Perubatan Hospital Beaufort yang turut berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, merakam percakapan ahli keluarga mangsa serta melaksanakan pemeriksaan forensik bagi membantu siasatan.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan polis.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Beaufort atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
