Pemilihan terakhir pemain TABS ke Piala Borneo awal Mei

KOTA KINABALU : Pemilihan terakhir pemain TABS untuk persiapan ke Malaysia Borneo Football Cup 2025 akan dibuat selewat-lewatnya bulan depan, kata Naib Pengerusi TABS, S.A Ramlye.

Beliau berkata, sehingga ini senarai pemain untuk tujuh pasukan TABS sudah tersedia namun akan dilengkapkan pada hujung bulan ini atau paling lewat awal bulan Mei.

Pasukan-pasukan itu ialah kategori B11, B12, B13, B14, B15, B16 dan B18.

“Senarai pemain untuk pasukan sudah tersedia tetapi kita perlu lengkapkan dengan pelatih-pelatih baru yang kita fikirkan sesuai dengan potensi mereka,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya masih mengalu-alukan pelatih-pelatih baru yang menunjukkan bakat dan komitmen setiap kategori sehingga penghunjung bulan ini.

“Mereka yang membuktikan prestasi yang baik sudah tentu kita akan berpeluang beraksi dalam kejohanan antarabangsa itu,” ujarnya.

Serentak itu, Ramlye berkata, pengurusan TABS juga akan mengumumkan pelantikan jurulatih setiap kategori itu dalam masa terdekat.

“Sebaik sahaja pelantikan jurulatih dimuktamadkan, mereka akan melakukan persiapan masing-masing dan memastikan pasukan mereka berada pada tahap terbaik.

Katanya, memandangkan kejohanan itu dijangka bermula pada September ini, ia bermakna pasukan mempunyai masa sekurang-kurangnya empat bulan untuk membuat persediaan.

Beliau berkata, TABS akan berusaha mengekalkan pencapaian lebih baik dalam kejohanan itu tahun ini.

Tahun lepas, TABS memenangi naib juara dalam kategori umur B15, tempat ketiga dalam kategori B16 selain menunjukkan saingan dalam kategori umur yang lain.